Ahli Parlimen Umno masih bersama PN, tolak bersama PM Kayangan

0
2

AHLI Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Kayangan dan beliau menafikan akan menyertai Presiden PKR itu.

Katanya, kenyataan Anwar yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan dan pada masa sama terdapat khabar angin namanya turut tersenarai menyebabkan ramai pihak menghubunginya.

“Saya berminggu kerja di sini (Sabah) tak balik-balik. Kalau saya sokong Perdana Menteri Kayangan ini mana mungkin saya berada di pentas ini.

“Kerana kita hendak membina kerajaan Sabah pada 26 hari bulan ini adalah berasaskan kepada muafakat di dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Turut menafikan akan menyertai Anwar adalah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang menegaskan masih kekal dalam Umno dan menyokong Kerajaan PN.

“Saya menafikan dakwaan satu portal yang meletakkan nama saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) yang menyokong Anwar.

“Saya tidak pernah dihubungi dan tidak pernah membuat sebarang keputusan dalam menyokong Anwar,” katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap juga menafikan akan bersama Anwar dalam membentuk kerajaan baru.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terbabit menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,” katanya.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria pula berkata, beliau langsung tidak tahu menahu sokongan itu dan hanya mengetahui wujud senarai nama yang turut mengaitkannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Geli hati dan nak ketawa bila melihat nama tersenarai bersama pimpinan yang hebat-hebat, sedangkan saya bukan menteri, tambahan pula memang tak pernah terdetik pun untuk beri sokongan kepada beliau apatah lagi dengan adanya DAP,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman turut menafikan menyokong Anwar dan masih kekal dalam Umno dan menyokong kerajaan PN.

“Pertama kenyataan saya adalah Anwar harus membuktikan kenyataannya di Dewan, bukan di luar. Dalam Dewan, beliau perlu buktikan mempunyai sokongan lebih daripada PN.

“Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 September beliau mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pula mengucapkan ‘terima kasih’ kerana Anwar mengingati dirinya dan menyenaraikan beliau sebagai Menteri Kerja Raya.

“Terima kasihlah ingat pada saya tapi saya tetap bersama keputusan parti. Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan. Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” kata Noh.

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, memaklumkan beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu dan tumpuannya kini memastikan BN dan rakan kongsi menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya tidak tahu pasal hal ini dan saya hanya mahu tumpukan pada kemenangan PRN Sabah,” ujar Bung Moktar.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menyindir tuduhan mengaitkan namanya bersama Anwar bagai jauh panggang dari api.

“Saya Ahli Parlimen Cameron Highlands Umno, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terbabit menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan tindakan Anwar mengumumkan memperoleh sokongan majoriti di Parlimen adalah gimik politik untuk mengganggu PRN Sabah.

“Saya yakin dakwaan ini dibuat kerana PRN Sabah dan saya ingin maklumkan kami kerajaan sedia ada masih kukuh dan mantap. Jadi macam mana dia boleh buat dakwaan itu, sedangkan kami tiada seorang pun yang lompat,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula berkata beliau tak mungkin bersama DAP dan meminta pihak yang ramal beliau bersama Anwar supaya menggunakan otak.

“Tak mungkin saya bersama DAP. Siapa yang ramal ini, gunalah otak sikit,” katanya – Malaysiapost