Pantang dicabar, lelaki telan telefon

0
1

[Dunia] SEORANG lelaki di Mesir menelan telefon bimbit selepas menyahut cabaran ketika berparti bersama rakan.

Lelaki berusia 28 tahun itu tidak memaklumkan kepada ahli keluarganya dan menyangka peranti berkenaan akan keluar semula jadi menerusi saluran ususnya.

Bagaimanapun, tindakan itu ternyata mengundang padah apabila gajet tersebut tersekat dalam perutnya selama tujuh bulan.

Akibatnya, lelaki itu terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan telefon bimbit berkenaan di sebuah hospital.

Gulf News yang memetik laporan media tempatan, Al Watan melaporkan kejadian itu dilaporkan berlaku di wilayah Benha di utara ibu negara Mesir.

Menurut doktor yang mengendalikan kes itu, Dr Mohammed Al Jazar, lelaki itu dirujuk ke hospital bagi menjalani ultrabunyi.

Katanya, ia menunjukkan telefon bimbit itu ‘tersangkut’ di dalam perut lelaki berkenaan.

“Susulan itu, lelaki terbabit segera dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peranti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi portal media tempatan, Akhbar Al Youm melaporkan bahawa lelaki terbabit menelan peranti itu ketika bergurau bersama rakannya.

Media turut menyiarkan imej gajet itu menerusi ultrabunyi.

Bagaimanapun, tiada maklumat berhubung keadaan lelaki itu selepas menjalani pembedahan. – Malaysiapost