SEORANG lelaki disahkan positif Covid-19 selepas pulang bercuti dari Kundasang, Sabah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, individu berusia 49 tahun itu mempunyai sejarah bercuti di Kota Kinabalu dan Kundasang pada 19 hingga 22 September lalu.
Katanya, kes berkenaan dikesan semasa saringan dilakukan terhadap individu berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
“Kes ini tidak mempunyai gejala dan dimasukkan ke Hospital Tumpat, semalam. Justeru, seramai 48 kontak rapat sudah dikenal pasti termasuk dalam kalangan keluarga, kawan, tempat kerja dan dalam pesawat.
“Kontak berkenaan dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur. Aktiviti kawalan dan siasatan lanjut punca jangkitan sedang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Dr Zaini berkata, sehingga hari ini sebanyak 161 kes disahkan positif Covid-19 di Kelantan termasuk tiga kematian.
“Situasi semasa Covid-19 di Kelantan masih terkawal dan masyarakat diminta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan sentiasa mematuhi SOP,” katanya. – Malaysiapost

