TINDAKAN Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, merangsang Barisan Nasional (BN) bersiap untuk berperang.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata ini peluang untuk rakyat Sabah menolak pembangkang yang diketuai Anwar esok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Alhamdulilah, walaupun DSAI (Anwar) cuba kitar semula strategi 16 September ia langsung tak menjejaskan GRS (Gabungan Rakyat Sabah)/BN, PN (Perikatan Nasional) malah semakin padu.
“Sebaliknya ia merangsang kita untuk bersiap perang lebih besar, rakyat Sabah berpeluang tolak DAP, tolak Warisan, tolak DSAI dan segerakan PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya menerusi Twitter.
Sebelum ini, Anwar mendakwa memiliki sokongan kukuh dan menyakinkan daripada majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan menggantikan kerajaan PN.
Anwar berkata, sokongan diterimanya adalah daripada pelbagai parti malah majoriti sokongan diterimanya adalah dalam kalangan Ahli Parlimen Melayu. – Malaysiapost

