Jika benar, Umno tak patuhi persefahaman, persetujuan Piagam MN – PAS

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN), jika benar dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimennya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi kenyataan media PAS Pusat dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, PAS meminta penjelasan Umno berhubung dakwaan berkenaan.

“PAS merasakan jika benar keadaan ini, ia bermakna Umno telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

“Sukacita diingatkan, Piagam MN dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatu-padukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) diterajui PKR, DAP dan Amanah,” katanya.

Takiyuddin berkata, sekiranya peralihan itu benar, ia boleh dianggap suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina atas permuafakatan BN, Bersatu, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH.

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak Umno kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya.

Kenyataan PAS ini difahamkan susulan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, Umno dan BN bukan parti komponen PN kerana sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja.

Kenyataan Ahmad Zahid itu susulan Anwar dalam sidang media tergempar sebelum itu mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani