Covid-19: MB Terengganu jalani kuarantin 14 hari

0
2

Nurul Huda Abhar

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari kerana mempunyai kontak rapat dengan dua individu positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid, berkata semua program yang membabitkan Ahmad Samsuri ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib seperti diarahkan pihak Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.

“Menteri Besar sudah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) COVID-19 dan disahkan negatif tetapi beliau perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti.

“Bagaimanapun, Menteri Besar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 September ini secara video atas talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas diambil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

“JKNT sedang melakukan pemantauan berterusan dengan penuh dedikasi,” katanya. -Malaysiapost