Pejuang tak akan sokong Anwar jadi PM- Tun M

0
2

PENGASAS Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan partinya tidak dapat menyokong pembentukkan kerajaan baharu yang dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata, Anwar sudah menolak sokongan partinya sejak dari awal ketika membuat kenyataan tersebut tempoh hari.

“Pejuang ditolak (daripada bersama Anwar Ibrahim). Dia kata semua sokong dia melainkan Dr Mahathir.

Rabu lalu, Anwar melalui satu sidang media membuat pengumuman telah mendapat majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau juga berkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan senarai ahli sokongannya namun terpaksa membatalkan kerana baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Dr Mahatdir, bagaimana Pejuang ingin memberi sokongan kepada pembentukkan kerajaan baharu Anwar jika tidak diterima dari awal.

“Saya ditolak terus tak boleh dengan dia jadi kita nak sokong macam mana? Kita ditolak awal-awal lagi,” katanya di Langkawi ketika ditanya media sama ada akan menyokong kerajaan baharu itu.

Katanya, jika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mampu membuktikan kenyataannya, ia akan menimbulkan kecelaruan politik negara.

Tambahnya, Anwar harus memberi bukti yang jelas jika benar beliau mempunyai majoriti kukuh dan selepas itu pihak berwajib akan putuskan hal selanjutnya.

“Tapi apabila kita sebut sesuatu yang tidak beri penjelasan kononnya ada majoriti, maka ini menimbulkan keadaan tidak stabil dalam negara.

“Ia tetap mempunyai kesan terhadap pelaburan, perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.

Kata Dr Mahatdir lagi, ini bukan kali pertama Anwar mengemukakan dakwaan menguasai majoriti di Dewan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

Beliau memberi contoh sewaktu Yang di-Pertuan Agong menemuduga setiap ahli Parlimen pada Februari lalu untuk menentukan ahli Dewan yang layak menjadi perdana menteri.

“Dia dulu penah buat dakwaan ada majoriti tapi akhirnya tak ada.

“Pada masa saya selepas letak jawatan (Perdana Menteri), Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian setiap ahli Parlimen, sekali lagi kata ada majoriti.

“Pakatan Harapan (PH) patut bagi nama saya tetapi sebab Anwar Ibrahim anggap ada majoriti, PH bagi nama dia tapi tidak cukup,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa agar sokongan majoriti itu diputuskan di Dewan Rakyat.

“Perkara macam ini kalau betul-betul ada majoriti kita tunjuk bukti dan sanggup pergi Dewan Rakyat nak dengar siapa dapat sokongan siapa tidak,” katanya. – Malaysiapost