PRN Sabah: Warisan Plus ada ‘kelebihan’ 23 kerusi selamat

0
2

Firma penyelidikan bebas Ilham Centre mendakwa Warisan Plus mendahului Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana mempunyai 23 kerusi selamat yang diyakini boleh dimenangi parti itu.

Sementara, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan gabungan parti dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pula mempunyai 19 kerusi selamat.

Baki 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang lain menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding lima kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” kata Ilham Centre melalui kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun firma itu tidak menyenaraikan kerusi yang boleh dimenangi oleh Warisan Plus dan GRS.

Katanya, PRN Sabah masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi PRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang esok.

Ilham Centre telah melakukan tinjauan melalui pasukan penyelidikannya yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September lalu.

“Kami mendapati pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sukar dan paling mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.

“Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN.

“Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri,” katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka.

Ilham Centre adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihan raya, polisi awam dan sosio-ekonomi.

Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. -Malaysiapost