Umno mesti waspada taktik Anwar – Hishammuddin

0
2

Nurul Huda Abhar

UMNO tidak perlu layan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kata bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PKR itu yang mendakwa mendapat majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sidang media Anwar hanya bertujuan untuk mengalih perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Hishammuddin menambah, tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu seolah-olah ingin mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan.

”Umno mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar.

“Ini kerana, ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini.

“Perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah.

“Jentera UMNO dan Barisan Nasional telah berpenat-lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon-calon kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Menurut Ahmad Zahid, Umno dan BN tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong Presiden PKR tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menafikan penglibatannya dalam gerakan pembentukkan kerajaan baharu yang dikatakan dalam sidang media yang dibuat Anwar semalam.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan juga menegaskan tidak pernah membincangkan apa-apa yang berkaitan dengan kenyataan sokongan kepada Anwar semalam.

“Tak benar. Saya tak tau apa pun dan tak pernah dibincangkan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua ahli parlimen parti itu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri untuk terus menerajui negara.

Ahmad Faizal berkata, kenyataan Anwar kononnya telah mendapat sokongan majoriti di kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu adalah satu lagi gimik politik.

”Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengkucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini. -Malaysiapost