KOTOR dan menjijikkan, itu gambaran sebuah kilang roti di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang dikesan menggunakan sumber air dari tandas di premis berkenaan untuk menghasilkan makanan.
Keadaan lantai premis itu juga didapati basah serta kotor dengan sisa makanan selain dinding tempat penyediaan makanan berdaki hitam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemeriksaan dilakukan enam anggota itu mendapati tahap kebersihan premis berkenaan tidak memuaskan dengan bahan mentah dan penyediaan makanan di atas lantai.
“Peralatan serta kelengkapan pemprosesan makanan juga dalam keadaan kotor dan usang.
“Terdapat juga kesan najis tikus di kawasan stor peralatan dan bahan mentah di kilang terbabit, manakala 10 pengendali makanan termasuk enam warga asing mempunyai suntikan tifoid,” katanya.
Tambahnya, DBKL mengeluarkan perintah penutupan premis itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuatkuasa esok.
“Pemeriksaan dan pemantauan seumpama ini akan diteruskan oleh DBKL dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, DBKL turut menyita dan meroboh dua gerai perniagaan yang dikendalikan peniaga Indonesia di Jalan 1/23E Taman Setapak Indah dan Jalan Jernai 1, hari ini.
“Dengan kekuatan 16 anggota, operasi bermula jam 11 pagi dengan menguatkuasakan tindakan mengikut UUK3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai 2016.
“Tindakan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh DBKL.
“Salurkan aduan anda ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800883255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL jika ada maklumat mengenai warga asing yang mengendalikan aktiviti perniagaan,” katanya. -Malaysiapost
Foto : Facebook DBKL

