PRN Sabah: PN ambil berat isu kos sara hidup tinggi di Sabah

0
2

KERAJAAN Perikanan Nasional (PN) mengambil berat isu kos sara hidup yang tinggi di Sabah dan mencari kaedah baharu untuk mengatasinya setelah pendekatan sebelum ini kurang berkesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah mengarahkan satu kajian berhubung masalah itu dilaksanakan dan beliau sendiri akan meneliti laporannya nanti.

“Kita juga mengambil berat masalah kos sara hidup rakyat di Sabah, kenapa harga barangan di sini lebih tinggi. Adakah ia disebabkan sabotaj atau peniaga sengaja mengambil untung besar atau disebabkan faktor pengangkutan.

“Perkara ini sedang dikaji dan saya akan lihat laporannya nanti untuk bagaimana kita boleh turunkan harga barangan,” katanya ketika Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Putatan, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri ketua dan wakil parti di bawah GRS.

Beliau berkata, strategi kali ini ialah dengan mengeluarkan sebanyak mungkin bahan makanan di Sabah supaya bekalan untuk rakyat di negeri itu mencukupi dan harganya lebih rendah.

“Apabila sebut pasal makanan, ia berkaitan dengan isu keselamatan makanan di mana Malaysia masih ketinggalan berbanding Singapura yang sudah mencapai tahap keselamatan untuk rakyat negara itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga diambil kira dalam memastikan bekalan makanan di negara ini termasuk di Sabah sentiasa mencukupi.

Sementara itu, katanya isu kemudahan asas seperti jalan raya juga diberikan perhatian oleh PN kerana menyedari masih banyak kawasan berdepan masalah perhubungan.

“Saya faham di Sabah masalah infrastruktur masih banyak.

“Sebagai Perdana Menteri, saya ada kelebihan pakai helikopter tapi rakyat saya tahu guna kenderaan dan terpaksa guna jalan balak dan becak.

“Kita juga tahu negeri boleh bina jalan tapi perlu ada sokongan Pusat supaya lebih banyak jalan dapat dibuat dan lagi bagus kalau GRS yang memerintah negeri ini.

“Begitu juga masalah sekolah, saya tahu masih berlaku kerana saya sendiri dulu pernah jadi Menteri Pendidikan tapi ni hanya dapat diselesaikan jika negeri dan Pusat sehaluan,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa kedatangannya ke Sabah bukan untuk menjajah atau mengambil hasil negeri ini seperti tuduhan dilemparkan pihak lawan.

“Satu sen pun saya tak ambil duit Sabah, saya bukan menjajah kerana yang akan jadi Ketua Menteri dan menteri nanti ialah orang Sabah.

“Saya tak layak, pasal saya orang Johor. Saya hanya mahu kerjasama negeri dan Pusat kerana kita tidak mahu Sabah ketinggalan dalam ekonomi lebih-lebih lagi untuk pulih daripada kesan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya adalah perlu bagi rakyat Sabah mengundi dan memberi kemenangan kepada calon GRS agar sebuah kerajaan baharu yang sehaluan dengan kerajaan Pusat dapat dibentuk Sabtu ini.- Malaysiapost