KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana terpaksa berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan.
Jelasnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN untuk mendapatkan mandat baharu rakyat dan menghentikan perebutan kuasa serta pergolakan politik yang berlaku di Sabah sebelum ini.
Katanya, langkah itu membolehkan sistem demokrasi dapat dilaksanakan dan rakyat boleh menentukan siapa kerajaan yang memiliki kuasa selepas pilihan raya Sabtu ini.
“Saya sedar dan tahu pada hari ini kita berhadapan dengan PRN Sabah Ke-16 dan dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah kerana berdepan pilihan raya dalam keadaan Covid-19.
“Keadaan ini juga memungkinkan kita berkempen bahkan juga mendampingi pengundi yang ada di setiap kawasan DUN dalam keadaan Covid-19 dan kemungkinan kita terjangkit dengan penyakit ini,” katanya dalam amanat khas kepada rakyat Sabah yang disiarkan secara langsung di laman Facebook beliau, malam ini.
Beliau yang juga Presiden Warisan berkata, pilihan raya kali ini penting bagi memastikan rakyat mempunyai kerajaan dan wakil rakyat yang bermaruah, bermartabat dan berintegriti untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Saya berharap sungguh dalam usaha kita untuk menambat undi, kita harus berhati-hati dan berjaga-jaga supaya masalah Covid-19 ini tidak menjangkiti mana-mana pihak khususnya pengundi.
“Dalam kesempatan ini juga saya ingin meminta agar tunaikanlah tanggungjawab kita selaku pemilih yang mempunyai hak dalam Perlembagaan Malaysia bagi membolehkan kita memilih siapa perlu menjadi wakil rakyat dan kerajaan di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

