MANGSA terakhir keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21 dilaporkan sudah sedarkan diri dari koma selepas seminggu menerima rawatan.
Difahamkan, alat bantuan pernafasan yang digunakan Nor Aqilah turut dicabut pasukan perubatan apabila pesakit berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa juga dikatakan mengenali ahli keluarga yang melawatnya.
“Alhamdulillah, polis menerima maklumat bahawa Nor Aqilah sudah sedar daripada koma dan dia mengangguk kepala tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Dalam kejadian Rabu minggu lalu, kesemua mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi; Ayuni Shazwanie Shabri serta kembar Nor Aqilah, Nor Adilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti rehat hingga tertidur di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah dekat Butterworth.
Bagaimanapun, mereka yang menuntut di sebuah kolej kejururawatan dekat Batu Caves ditemui tidak sedarkan diri oleh bapa daripada seorang mangsa di dalam kereta yang dinaiki mereka akibat terhidu karbon monoksida.
Sharifah Fariesha ditemui maut di lokasi, manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, manakala Nor Aqilah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

