BEKAS Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ramai ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar Ibrahim, hanyalah pandangan peribadinya.
Malah, Mohamed Azmin, berkata beliau sendiri tidak tahu daripada mana Anwar ‘mengutip’ sokongan berkenaan.
“Jangan tanya saya. Saya pun tak tahu daripada mana dia nak kutip (sokongan). Dari tepi jalan, tak tahulah,” katanya.
Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di Merotai, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, ini bukanlah pertama kali Anwar menimbulkan dakwaan seumpamnya.
“Beliau pernah gembar-gemburkan perkara sama pada 2008 dan tahun lepas, tetapi tidak berlaku apa-apa,” katanya.
Tambahnya, ada beberapa rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) sendiri yang mempertikaikan kenyataan Anwar itu sekali gus menunjukkan mereka kenal dengan watak Presiden PKR itu.
Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid, Azmin berkata, beberapa pemimpin tertinggi BN yang lain dengan tegas menyatakan sokongan Umno masih kekal bersama PN.
Justeru, katanya, ia sekali gus dapat dinilai oleh semua orang melainkan mereka yang ‘rakus dan gila kuasa’ .
“Itu pandangan peribadi beliaulah (Ahmad Zahid). Kita lihat ada kenyataan pemimpin-pemimpin tertinggi BN yang menyatakan dengan tegas bahawa Umno kekal bersama PN.
“Kerana ini sebuah kerajaan yang telah terbukti dalam tempoh begitu singkat melaksanakan beberapa inisiatif yang akhirnya mendapat pengiktiraafan dunia. Saya percaya semua pihak dapat melhiat perkara ini.
“Kecuali adalah satu-dua watak yg terlalu rakus dan gila kuasa,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata beliau tidak boleh menghalang ahli-ahli parlimen daripada menyokong Anwar yang berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan mempunyai sokongan majoriti.
Dalam kenyataannya semalam, Ahmad Zahid turut mengakui dia dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan dia menghormati pendirian mereka itu.
Kenyataan Ahmad Zahid sejurus selepas Anwar Ibrahim mengadakan sidang media mengumumkan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan sokongan yang ‘kukuh’ , ‘meyakinkan’ dan ‘jauh’ daripada majoriti kecil”. -Malaysiapost

