KENYATAAN Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan sokongan parti itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bersyarat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkata, sokongan Umno kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru juga pastinya bersyarat.
“Hari ini, jelas apa yang saya jangka sedang berlaku dan kenyataan Ahmad Zahid semalam mengesahkan sokongan dari Umno memang bersyarat dan sokongan Umno kepada Anwar juga pasti bersyarat walau tidak diumum.
“Walaupun Anwar kata yang dia tidak menerima sokongan dari enam Ahli Parlimen yang menghadapi kes-kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada (Datuk Seri) Najib (Razak) dan Ahmad Zahid.
“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baru.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa beliau mendapat sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen Melayu.
Sejurus pengumuman Anwar, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak mampu menghalang Ahli Parlimen Umno dan BN menyokong Anwar.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sebab itulah dari awal lagi beliau menolak untuk bekerjasama dengan Umno secara “en-bloc”.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sama ada Muhyiddin memiliki majoriti atau tidak hanya boleh dibuktikan melalui undian di Parlimen.
“Kerana itu, sejak dari perisytiharan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jika Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya itu maka selepas itu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Jika dia kalah, ahli-ahli Dewan Rakyat berpeluang mengusulkan calon Perdana Menteri yang baru dan sesiapa mendapat majoriti akan menerajui kerajaan tanpa terlalu banyak tekanan berkaitan legitimasi,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, jika perkara itu dapat dilakukan, ia pasti
dapat mengelak daripada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika wabak Covid-19 belum berakhir. – Malaysiapost

