Muhammad Mustakim Ramli
SAYA adalah Perdana Menteri yang sah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.
“Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin dalam pada itu juga memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi itu.
“InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, kenyataan media parti yang bekerjasama di dalam PN sebulat suara menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
“Semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan PN iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.
“Justeru, gabungan parti yang membentuk Kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Presiden PKR yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini,” katanya.
Kenyataan itu juga berkata, tindakan terbaharu Anwar ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19.
“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh semua Setiausaha parti di dalam PN iaitu seperti Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa, Setiusaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Takhiyuddin Hassan. -Malaysiapost

