Anwar sengaja alih tumpuan

0
1

Nurul Huda Abhar

“Itu hanya nak dapatkan sokongan terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Armand berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, tindakan Presiden PKR itu seperti mengulangi sejarah 16 September 2008 yang mana Anwar pernah mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang ketika itu dipimpin Barisan Nasional (BN).

“Tujuan Anwar mengadakan sidang media hari ini hanya bagi mengalihkan tumpuan pengundi menjelang PRN Sabah yang akan berlangsung Sabtu ini.

”Bila Anwar kata Perikatan Nasional (PN) runtuh kerana beliau ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, sebenarnya hanya untuk berikan isyarat pada rakyat Sabah untuk sokong Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung.

“Rata-rata kempen PH di Sabah mengunakan pendekatan ‘Sabah for Sabah’, sedangkan Warisan bersekongkol dengan DAP dan PKR.

“Soalan saya pada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, DAP dan PKR ini parti Sabah atau Semenanjung?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pendekatan PH ini adalah tindakan politik tidak sihat bagi mewujudkan perpecahan perpaduan kaum di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, tidak timbul kerisauan dalam PN kerana rakyat Malaysia matang dan bijak membuat penilaian.

“Rakyat Malaysia tidak lupa penipuan dan fitnah dibuat PH sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan. PH gagal mengekalkan kuasa kerana kerakusan perbalahan rebut kerusi antara Tun M dan Anwar sehingga parti itu runtuh,” katanya. -Malaysiapost