CALON Parti Bersatu Sabah (PBS) DUN Paginatan, Arthur Sen, menegaskan pendiriannya tidak mengundur diri daripada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berbaki dua hari lagi.
Beliau memuat naik pendiriannya itu di Facebooknya selepas Perikatan Nasional (PN) dikatakan meneruskan rundingan dengan PBS untuk memastikan kerusi yang ada isu pertembungan di antara kedua-dua parti diselesaikan.
“Saya calon PBS DUN N38 Paginatan tidak tarik diri seperti diwar-warkan oleh pihak lawan. Saya terus bertanding. Undilah PBS,” katanya.
Kerusi DUN Paginatan, di Ranau menyaksikan Arthur menentang calon PN daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Abidin Madingkir dan calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno.
Kerusi itu turut ditandingi calon dari Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Semalam, PBS dan Star bersetuju menyelesaikan isu pertembungan kedua-dua parti di kerusi DUN Tambunan dan Bingkor.
Menerusi perjanjian di antara Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim itu, PBS bersetuju menghentikan kempen parti itu di kedua-dua kerusi berkenaan.
PBS juga bersetuju untuk membantu kempen calon Star yang bertanding atas tiket PN di kedua-dua kerusi.
Sebagai ganti, Star akan membantu kempen calon PBS di Api-Api dan Bengkoka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keputusan itu semalam berkata ada empat kawasan lagi di mana calon PBS dan calon PN daripada Star sedang dirunding bagi memastikan hanya seorang calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipilih pengundi.
PBS bertanding di 22 kerusi dan bertembung dengan calon PN daripada Star di Moyog, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Tulid dan Sook selain dengan BN daripada Umno di enam kawasan.
Parti itu turut bertembung dengan calon BN daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA di Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan dan Karamunting. -Malaysiapost

