BARISAN Nasional (BN) menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menukar kerajaan, sebagai orang terdesak dengan kegagalannya menghalang usaha mencabar bukti pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, disebabkan terdesak, Presiden PKR itu cuba merampas kuasa dengan taktik sama dilakukan beliau kira-kira 12 tahun lalu yang mengisytiharkan tarikh 16 September 2008 sebagai hari kerajaan baharu Pakatan Rakyat (PR).
Kata beliau, kenyataan Anwar itu seolah-olah sebagai langkah terakhir beliau untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Percubaan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu ini selepas beliau gagal menghalang usaha seorang peguam memfailkan writ saman mencabar bukti pengampunan penuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dua tahun lalu.
“Beliau ternyata terdesak dan cuba merampas kuasa sebagai jalan terakhir untuk mengelak sesuatu yang paling tidak diingini,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Tengah hari tadi, Anwar mendakwa, beliau mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut memaklumkan sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, namun ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – Malaysiapost

