LUCUT atau tidak kuasa sesebuah pemerintah akan ditentukan dalam Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata, Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat walaupun memiliki surat akuan sumpah (SD) lebih separuh daripada bilangannya.
Katanya, menerusi Dewan Rakyat, setiap Ahli Parlimen perlu hadir untuk mengundi, tanpa boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui SD.
“Perdana Menteri pula mesti mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletak jawatan apabila beliau telah hilang sokongan dan memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Rakyat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Atau Tuanku melantik Ahli Parlimen lain sebagai ganti sekiranya mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Tengah hari tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memaklumkan akan menyembah kepada Yang di-Pertuan Agong senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, perkara seterusnya adalah terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat apa juga keputusan yang baginda anggap terbaik.
Kata veteran Umno itu lagi, Ahli Parlimen tidak boleh ikut sesuka hati masing-masing, walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup.
“(jangan) pandai-pandai nak tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian,” katanya. – Malaysiapost

