Sampel dihantar ke Semenanjung jika cecah 2,500 sehari

0
2

SAMPEL ujian Covid-19 yang diperoleh hasil saringan individu yang dijalankan di Sabah akan dihantar ke Semenanjung jika kapasiti ujian di negeri itu mencecah 2,500 sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sampel itu akan dihantar menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menampung pengujian sampel tambahan.

“Berikutan pertambahan bilangan kes di Sabah, Kementerian Kesihatan menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) sebagai satu daripada langkah kesiapsagaan.

“Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di seluruh Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, bagi fasiliti di Hospital Queen Elizabeth, kapasiti maksima makmal ditingkatkan kepada 400 ujian berbanding 100 pada Mac lalu, 2,000 daripada 200 ujian bagi Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan 100 ujian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan yang menjalankan ujian RAPID Test Kit Antigen RTK-Ag di Sabah ketika ini.

“Bagi jangka masa panjang, KKM sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau.

“Selain itu, kementerian juga sedang menunggu penghantaran kaset GENEXPERT COVID-19 dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

“Ujian ini digunakan bagi mengesan virus SARS-COV-2. Mesin GENEXPERT dengan empat laci mampu menjalankan 40 ujian sehari,” katanya. – Malaysiapost