Saya pilih Armani bukan kerana adik TYT – Mohd Shafie

0
1

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak dakwaan beliau memilih Datuk Armani Mahiruddin sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana ada kaitan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sebaliknya, Mohd Shafie berkata adik kepada Juhar itu dipilih untuk DUN Sungai Sibuga kerana Armani boleh bekerja dan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) bilang (cakap) saya pilih Armani sebab saya ada ‘corruption’ (rasuah) dengan TYT (Tuan Yang Terutama).

“Saya lama dalam UMNO dan saya tahu menilai mana yang boleh bekerja, bukan pasal abangnya TYT.

“Dulu dia senator (Armani), kalau dicadang sebab TYT, si Musa juga ‘corruption’,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Kampung Tinosa di Sandakan, hari ini.

Mohd Shafie turut meminta rakyat agar tidak terikat kepada bangsa dan agama untuk menentukan undi mereka pada PRN, 26 September ini.

Katanya, bukan bermakna orang Melayu hilang kemelayuan jika tidak mengundi UMNO atau kurang keislaman jika tidak mengundi PAS.

“Keislaman kita bukan terletak pada parti. UMNO berpuluh tahun memerintah di bumi Malaysia apa jadi? berhutang, masih ramai orang Melayu yang miskin dan kita juga di bumi Sabah kerana asyik sokong, hidup BN (Barisan Nasional).

“Jangan terikat pada parti Islam kerana dia bukan boleh jamin masuk syurga,” katanya. -Malaysiapost