PBS henti kempen di Tambunan, Bingkor

0
2

PARTI Bersatu Sabah (PBS) menghentikan kempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Bingkor, selepas setuju bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) di kedua-dua kerusi.

Berikutan itu, PBS tidak lagi memasang bendera, poster calon atau mengedarkan bahan kempen parti itu di kedua-dua kerusi berkuatkuasa serta-merta.

Parti itu bersetuju untuk menyokong calon Perikatan Nasional (PN) dari Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Tambunan dan Robert Tawik di Bingkor.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media selepas Jeffrey dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim menandatangani persetujuan masing-masing di Kota Kinabalu.

Hamzah berkata persetujuan itu dicapai selepas perbincangan beliau dengan Jeffrey selaku Presiden Star dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Jelasnya, persetujuan itu penting dalam usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kuasa daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Berikutan itu, katanya, tiada lagi isu pertembungan antara PBS dan Star khususnya di Tambunan dan Bingkor, sebaliknya kedua-dua parti bekerjasama untuk memastikan kemenangan calon Star di kerusi itu.

“Bagi menentukan kita dapat mengambil alih kuasa daripada Warisan, sudah tentulah kita mahukan kemenangan yang besar.

“Dalam perbincangan yang kita lakukan dalam beberapa hari ini, empat kawasan kita kenal pasti iaitu Tambunan, Bingkor, Api-Api dan Bengkoka.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengorbanan yang diberikan kepada kita terutama calon- yang menarik diri untuk memastikan bahawa tiada lagi ugutan dan sebagainya,” katanya.

Di Tambunan, Jeffrey ditentang calon PBS, Silverius Bruno, manakala di Bingkor, Robert ditentang Peter Jino Allion dari PBS.

Di kerusi Api-Api dan Bengkoka pula, Star bersetuju membantu calon PBS dengan disokong calon Bebas yang sebelum ini dikaitkan dengan calon Star.

Hamzah berkata, empat lagi kawasan yang PBS dan STAR bertembung akan dibincang dan cuba diselesaikan dalam masa tetdekat.

Sementara itu, Jeffrey menyifatkan persetujuan itu sebagai satu usaha positif ke arah kerjasama antara PBS dan Star bagi menentang calon Warisan Plus.

Dalam pada itu, Jahid berkata Presiden PBS memutuskan supaya mereka menyokong calon PN di Tambunan dan Bingkor serta menghentikan kempen menggunakan lambang PBS di kedua-dua kerusi.

PBS bertembung dengan calon PN khususnya dari Star di beberapa kerusi iaitu Tambunan, Bingkor, Paginatan selain turut bertembung dengan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi, antaranya Melalap, Lumadan dan Tanjung Aru. – Malaysiapost