POLIS akan memanggil Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi dalam masa terdekat bagi merakam keterangannya berkaitan kenyataan beliau mendakwa insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu adalah sandiwara.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah menerima 35 laporan polis di seluruh negara berhubung isu berkenaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 28 laporan telah dibuat di Sabah manakala tujuh lagi dibuat di Semenanjung.
“Kita akan panggil beliau (Mohamaddin) dan beberapa individu yang terlibat untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Semalam, Mohamaddin telah memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung kenyataannya mempersendakan pasukan keselamatan.
Namun, beliau menyatakan ucapannya di dalam video klip terbabit telah disalah erti dan mendakwa ia permainan kotor pihak tertentu yang mahu menjatuhkan maruah Warisan.
Sebelum itu, tular satu video memaparkan ucapan Mohamaddin yang mendakwa tragedi di Kampung tersebut hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’. -Malaysiapost

