PARTI Warisan Sabah (Warisan) didakwa cuba menyogok anggota keselamatan bagi menutup isu ucapan calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Lahad Datu yang mempersenda pasukan keselamatan.
Ketika mendedahkannya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau difahamkan ada cubaan wakil calon Warisan untuk melakukan perkara itu sebelum mengundi awal hari ini.
Tegasnya, beliau bukan saja mengutuk perbuatan calon Warisan mempersenda pasukan keselamatan, malah sakit hati apabila mendapat maklumat mengenai cubaan menyogok mereka.
“Mengapa sampai begini sekali cara mereka nak berkempen. Saya nak maklumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, saya akan pertahankan negeri ini sebaik mungkin bersama anggota yang ada.
“Sudahlah bercakap sedemikian rupa, lepas itu nak tutup pula dan saya difahamkan ada cubaan menyogok anggota keselamatan. Saya dah minta supaya anggota kita buat laporan,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.
Cubaan itu jelasnya, menunjukkan Warisan semakin terdesak dan sanggup melakukan apa saja untuk menang tanpa menghormati anggota keselamatan yang sudah terkorban.
“Mereka yang terkorban itu saya yakin mati syahid kerana berjihad untuk kepentingan negara tetapi janganlah sebab nak menang dan bila nak ‘cover’ cuba nak sogok pula lagi, bukan sikit duit berpuluh ribu,” katanya.
Beliau menyifatkan ucapan mempersenda anggota keselamatan menunjukkan calon Warisan itu tidak bertanggungjawab dalam soal mempertahankan negara.
“Sebagai Menteri Dalam Negeri saya sayang agensi di bawah saya maka sudah tentulah saya ingin mempertahankan anggota dan pegawai kita yang terkorban di Tanduo pada 2013.
“Kalau inilah sikap calon yang datang dari kerajaan Warisan saya memohon kepada semua rakyat di Sabah untuk mengetahui dengan lebih jelas bahawa calon mereka langsung tidak memikirkan tanggungjawab mempertahankan negeri ini,” katanya.
Calon Warisan DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, dikecam selepas mengeluarkan ucapan mempersenda anggota keselamatan dengan mengatakan mereka berperang dengan ayam dan anjing ketika pertempuran dalam Ops Daulat di Lahad Datu pada 2013.
Beliau sudah meminta maaf dan mendakwa ucapannya disalah erti, namun pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan terus mengecam beliau, termasuk membuat laporan polis. – Malaysiapost

