PRN Sabah: KKM tingkat SOP

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan sempadan di pintu masuk utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata suasana di Sabah sekarang yang mana berlaku banyak perhimpunan membabitkan kempen memerlukan SOP diperketatkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Katanya, selain perhimpunan, ramai pemimpin dari Semenanjung ke negeri itu untuk berkempen.

“Semua disarankan sentiasa ingat antara kita, duduk jarak-jarak, pakai pelitup mua dan selalu jaga kebersihan.

“Inilah saja yang dapat membantu kita ketika ini dan kita harap negara selamat dan PRN berjalan dengan lancar kerana kebetulan kes di Sabah meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pembudayaan Norma Baharu Covid-19 di Sandakan hari ini.

Ditanya kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan kesihatan di negeri itu, Noor Azmi berkata, seramai 19 kakitangan kesihatan yang dikesan positif membabitkan Kluster Hospital dan Kluster Kuarters di Tongod yang baharu dikesan semalam.

Katanya, seramai 2,477 orang yang merupakan kontak rapat dan ada berhubung dengan semua pesakit kluster itu sudah dikuarantin.- Malaysiapost