Aiman Hanif
PENUAIAN air hujan bagi masalah air di Kelantan tidak relevan, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S.Piarapakaran.
Jelasnya masalah utama isu air di Kelantan adalah disebabkan infrastruktur yang uzur serta keperluan penstrukturan semula Syarikat Air Kelantan.
“Penuaian air hujan ini menggunakan teknologi yang mahal. Isu kat Kelantan air terawat tidak sampai.
“Air hujan kena rawat, penuaian air hujan secara konvensional ada risiko, seperti pembiakan nyamuk, risiko penyakit dan sebagainya.
“Jika penuaian air secara konvensional ini, air hujan boleh digunakan bagi tujuan sampingan seperti mencuci kereta, siram bunga, tetapi bukan untuk makanan dan minuman,” katanya kepada Malaysiapost.
Isu penggunaan air hujan tercetus apabila Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan rakyat Kelantan menggunakan air hujan bagi mengatasai masalah bekalan air di negeri itu.
Saranan Tuan Ibrahim disiarkan melalui lidah rasmi PAS Harakahdaily.
Pelbagai pihak mempertikai kenyataan Tuan Ibrahim dan menyifatkannya sesuatu yang tidak relevan.
Mempertahankan kenyataannya, Tuan Ibrahim memuat naik di Facebooknya teknologi penuaian air hujan yang telah digunakan di beberapa buah negara.
Subhead: Perubahan dalam masa 5 tahun
Dalam pada itu, Piarapakaran berkata jika Kelantan melakukan penstrukturan semula Syarikat Air Kelantan, perubahan dapat dilihat dalam tempoh lima tahun.
Katanya, Negeri Sembilan suatu masa dulu ketinggalan dalam hal ini, namun berjaya membuat perubahan selepas penstrukturan semula syarikat air di negeri itu.
“Struktur industri dan infrastruktur yang masih ketinggalan. Negeri Sembilan dulu infrastrukturnya uzur walaupun banyak kawasan tadahan hujan.
“Situasai di Kelantan sama, masalah infrastruktur struktur semula industri air. Jika penstrukturan dilakukan dalam masa lima tahun boleh lihat perubahan,” katanya.- Malaysiapost

