SEORANG pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi dipandu seorang pemandu mabuk di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Muhammad Hazeq Hakimi Romli, 17, yang menunggang Yamaha Y15 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan berlaku selepas Myvi dari susur Jalan Sri Amar, Chow Kit mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam di laluan itu.
Beliau berkat, pada masa sama penunggang motosikal yang bergerak lurus di Jalan Raja Laut gagal mengelak dan melanggar pintu sisi depan bahagian kiri Myvi berkenaan.
“Mangsa yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Pemandu Myvi diarahkan menjalani ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) dan didapati paras alkohol dalam tubuhnya melebihi paras dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pelatih anjing itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya -Malaysiapost

