INDIVIDU yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Mereka yang positif Covid-19 dan dirawat tidak dibenarkan keluar mengundi, kita takut mereka menyebarkan penyakit (kepada oranf ramai) di luar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata tiga lagi kategori individu dibenarkan keluar mengundi iaitu pengundi biasa mengikut ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak kesesakan.
“Kita galakkan mereka keluar pada waktu ditetapkan SPR untuk elak kesesakan, namun ia bukan syarat wajib. Mereka masih dibenarkan mengundi di luar waktu terbabit.
“Kategori kedua ialah individu bergejala yang mana mereka akan dibawa ke tempat khas yang disediakan SPR.
“Bagi kategori ketiga iaitu mereka yang dikuarantin di pusat kuarantin, mesti mohon kepada Pejabat Kesihatan Daerah supaya dapat tentukan masa mereka dibawa keluar ke pusat mengundi,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan SPR mencari kaedah bagi membenarkan pesakit dan mereka yang dikuarantin akibat Covid-19 mengundi awal.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman mengecam cadangan itu.
Mereka antara lain mendakwa perkara itu akan membahayakan orang ramai yang kemungkinan terkena jangkitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata petugas parti diminta mengamalkan kawalan kendiri yang ketat bagi mengelak penularan Covid-19.
“Kita faham ada kempen rumah ke rumah, kita benarkan dan tak halang, tapi kita harap jumlah petugas parti dikurangkan, cuma satu atau dua orang boleh masuk rumah untuk jumpa pengundi.
“Begitu juga ceramah, SPR cadangkan tak lebih 30 orang. Semasa kempen SOP perlu dipatuhi seperti pakai pelitup muka terutama ketika sesak dan melakukan penjarakan fizikal,” katanya. – Malaysiapost

