Mohamaddin tidak sensitif

0
1

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Datuk Mohamaddin Ketapi seorang yang tidak sensitif dan biadap, susulan dakwaannya menganggap insiden di Tanduo sebagai sandiwara.

Ismail berkata, beliau selaku Menteri Pertahanan menganggap kenyataan Mohamaddin yang juga calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), sebagai keterlaluan.

Beliau berkata, insiden di Tanduo adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan ramai anggota keselamatan cedera serta terbunuh, dalam kejadian itu.

“Tak ada orang yang berlakon untuk mati, tidak ada. Jadi saya anggap statement (kenyataan) ahli politik ini sebagai tindakan keterlaluan dan biadap kerana menuduh peristiwa ini satu sandiwara.

“Saya difahamkan, beliau telah memohon maaf tapi bagi saya perkara-perkara seperti ini janganlah bercakap dulu, baru minta maaf,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ahli politik itu sudah minta maaf, ia tetap tidak dapat mengembalikan mereka yang terkorban.

“Dia mesti faham sensitiviti anak yang kehilangan bapa, dia mesti sensitif kepada isteri yang kehilangan suami.

“Kita nampak dalam media bagaimana sedihnya keluarga mereka menerima mayat yang terbunuh dalam tragedi itu.

“Saya percaya orang ini (Mohamaddin) adalah orang yang sangat tidak bertanggungjawab, tidak sensitif. Walaupun dia dah minta maaf, ini bukan menjadi lesen setiap orang bercakap dulu, guriskan hati semua orang, akhirnya minta maaf.

“Jadi, saya harap ini tidak berlaku lagi, dan saya difahamkan ada di kalangan rakyat di Sabah membuat laporan polis,” katanya.

Baru-baru ini, tular video memaparkan ucapan Mohamaddin yang mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu memohon maaf dan mendakwa video berkenaan adalah permainan kotor pihak tertentu.

Susulan itu, polis menerima 35 laporan terhadap Mohamaddin, susulan kenyataannya itu, hari ini. -Malaysiapost