PRN Sabah: 655 pegawai dan anggota IPD Tawau mengundi awal

0
1

SERAMAI 655 pegawai dan anggota polis di Tawau mengundi awal di 11 saluran di tujuh pusat mengundi, bermula jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas daripada jumlah itu, seramai 624 pegawai dan anggota yang mengundi awal manakala 31 anggota adalah pengundi pos.

“Melalui pemantauan dan laporan yang kita diterima daripada beberapa pusat mengundi, proses pengundian awal lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, bagi Ketua Polis Balai, Balai Polis Tawau, Asisten Superintendan Jafri Abdul Hamid, menyifatkan pengalaman mengundi walaupun dalam norma baharu bukan sesuatu yang asing.

“Ini kali kelima saya mengundi awal di Sabah cuma bezanya kali ini diadakan ketika rakyat berdepan penularan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah pagi ini saya antara pengundi terawal walaupun masih dalam tempoh bertugas 24 jam memantau perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” katanya ditemui selepas mengundi awal di Dewan Serbaguna IPD Tawau, pagi tadi.

Bagi Koperal Abdul Khalind Abdul Kadir dari Balai Polis Bombalai, mengundi awal sudah menjadi kelaziman bagi anggota polis.

“Saya mengundi awal kerana akan bertugas menjaga saluran di pusat mengundi DUN Merotai pada PRN kali ini.

“Semua berjalan lancar dan saya boleh sambung semula tugas,” katanya yang berasal dari Sandakan.

Bagi Inspektor Azlinda Buang, beliau tidak melepaskan peluang mengundi awal pada PRN kali ini selepas pertama kali berbuat perkara sama di Samarahan, Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sebagai penjawat awam, tanggungjawab sebagai pengundi perlu dilaksanakan. Ini kali kedua mengundi awal selepas bertukar ke IPD Tawau,” katanya. – Malaysiapost