Mohamaddin Ketapi mohon maaf

0
1

Fitri Nizam

DATUK Mohamaddin Ketapi memohon maaf berhubung video tular mendakwa beliau menghina anggota keselamatan berkaitan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Bagaimanapun, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama di Lahad Datu itu mrndakwa kenyataannya ketika berkempen di Kampung Wawasan itu disalah ertikan.

“Saya tidak pernah sama sekali memperkecil apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada penceroboh.

“Ketika memberikan ceramah tersebut, saya memberi gambaran akan kesukaran dihadapi anggota keselamatan kita dalam mempertahan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, video berkenaan harus dimainkan sepenuhnya bukannya merujuk kepada hal berkenaan semata-mata.

Justeru, beliau mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang dakwanya jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan.

“Sekiranya isu pendatang asing menjadi keutamaan kerajaan terdahulu, kejadian di Tanduo (Lahad Datu) tidak mungkin berlaku.

“Oleh yang demikian, saya sekali lagi ingin menegaskan saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti diputarbelitkan pihak lawan, khususnya parti dari Semenanjung,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan ucapan Mohamaddin mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang.

“Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.

“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di Kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya. – Malaysiapost