PRN Sabah: Mohamaddin pengkhianat negara – Azmin

0
1

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Datuk Mohamaddin Ketapi, pengkhianat kerana mempersenda pengorbanan anggota keselamatan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, tugas anggota keselamatan mempertahankan negara ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 tidak patut dipersenda.

Tegasnya, ucapan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Lahad Datu itu atau sebarang kenyataan seperti itu bukan saja tidak patriotik, malah berbaur hasutan dan mengkhianati negara bangsa.

Perbuatan Mohamaddin itu, katanya, jelas bertentangan dengan kewajipan setiap rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah.

“Justeru itu, sebarang kenyataan dan ucapan yang meremehkan kedaulatan tanah air bukan sahaja tidak patriotik bahkan berbau hasutan dan mengkhianati negara bangsa.

“Berpegang kepada prinsip ini, saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan pemimpin utama Warisan yang juga calon kerusi DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.

“Perbuatannya jelas menghina jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan tanah air ketika Sabah diserang pengganas pada 2013,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu itu mengakibatkan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pengganas dari Filipina sehingga mengorbankan 10 anggota keselamatan.

Katanya, tindakan Mohamaddin menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai sandiwara adalah pembohongan dan hasutan untuk memecah-belahkan perpaduan dan kesatuan rakyat. 

“Ucapan beliau turut mencerminkan betapa Warisan tidak komited untuk mempertahan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah. 

“PN bertegas perjuangan mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah adalah tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata ucapan Mohamaddin juga mempersenda pasukan keselamatan negara dan menghina jasa serta pengorbanan setiap anggota yang terkorban. 

“Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran itu serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

“PN mendesak Mohamaddin menarik balik kata-kata penghinaan itu dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air,” katanya.

Dalam satu klio video sebelum ini, Mohamaddin antara lain menyebut anggota keselamatan berperang dengan ayam dan anjing ketika pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo. – Malaysiapost