Kena langgar, bukan kena hempap objek jatuh

0
1

SEBUAH kereta yang rosak, didakwa ditimpa besi daripada struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Len Seng diCheras, malam tadi, sebenarnya dihempap cangkuk kren yang merempuh kenderaan terbabit.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pemandu kenderaan e-hailing, P Sivalingam, 55, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu tular di media sosial, kononnya satu lagi nahas disebabkan struktur binaan konkrit jatuh menghempap kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata siasatan mendapati pemandu kereta membelok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, sebelum dirempuh kren dari belakang.

“Akibat kemalangan itu, cangkuk kren itu menghempap bumbung kereta berkenaan. Pemandu yang tersepit dalam kereta dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

“Pemandu kren yang belum membuat laporan polis dipercayai tidak berhentikan kenderaannya dan meninggalkan kawasan kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Zulkefly berkata pemeriksaan lanjut polis tidak menemui sebarang serpihan objek lain dalam kereta.

“Lokasi kejadian di simpang tiga dan nahas berlaku ketika hujan lebat. Kes disiasat mengikut Peraturan 3(2) B Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 3(2) BLN 166/59),” katanya.

Kelmarin, seorang wanita yang nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa batu konkrit daripada struktur binaan SUKE di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mangsa yang patah tangan kiri dan tulang selangka dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di ibu negara. – Malaysiapost