Virus Covid-19 pada bungkusan sotong

0
1

[Dunia] VIRUS SARS-CoV-2, iaitu punca Covid-19 ditemui pada bungkusan sotong import di wilayah Jilin, timur laut China.

Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan bandar Fuyu menggesa orang ramai yang membeli makanan laut itu supaya menjalani saringan Covid-19.

Salah satu bungkusan itu tiba di bandar berkenaan melalui wilayah Changchun.

Memetik laporan Astro Awani, Pejabat kesihatan bandar Fuyu juga meminta orang ramai yang membeli dan menjamah sotong diimport di kedai borong makanan laut beku Sanjia Deda pada 24 hingga 31 Ogos, melapor kepada pihak berkuasa dan menjalani ujian saringan.

Pejabat pencegahan Changchun Covid-19 berkata, sotong itu diimport dari Rusia oleh sebuah syarikat di bandar Hunchun sebelum dibawa ke ibu kota wilayah berkenaan.

Jabatan Kastam China pada Jumaat lalu, memaklumkan akan menangguhkan import dari syarikat itu selama seminggu jika produk makanan sejuk beku disahkan dicemari koronavirus.

Penangguhan import juga akan ditingkatkan selama sebulan jika produk pembekal diuji positif untuk kali ketiga atau lebih.

Ogos lalu, pihak berkuasa tempatan di dua bandar China menyatakan mereka menemui kesan virus pada muatan makanan sejuk beku yang diimport.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun berkata tiada bukti Covid-19 boleh tersebar melalui makanan atau pembungkusan.

China merekodkan aliran kes Covid-19 yang semakin menurun dengan hanya 10 jangkitan baharu kelmarin.

Kes baharu di Beijing kebanyakannnya daripada mereka yang tiba dari luar negara.