Muhammad Mustakim Ramli
KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memandang serius dan mengarahkan tindakan tegas diambil, susulan insiden parapet atau panel konkrit terjatuh dari struktur binaan lebuh raya, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan kementeriannya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan serta nyawa orang ramai dengan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan nanti.
Katanya, pada masa sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah diarah melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja-kerja melibatkan keselamatan awam.
“Isu keselamatan ditempat kerja amat penting diambil perhatian dan dipatuhi setiap pekerja yang terbabit dalam kerja pembinaan.
Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham sahaja, tetapi perlu mengimplikasi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan.
“Kejadian parapet jatuh menimpa kenderaan awam semalam, dapat dielakkan jika semua pihak mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, seorang wanita hampir maut apabila kereta Proton Saga FLX dipandunya remuk pada bahagian bumbung akibat ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, KKR memberi amaran semua pihak terbabit dalam kerja pembinaan perlu mematuhi semua proses, prosedur, spesifikasi dan kontrak kerja yang ditetapkan di tapak bina tanpa sebarang kompromi.
“Kerajaan akan merujuk pihak perunding kepada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) jika didapati terdapat unsur kecuaian dari segi rekabentuk dan pemantauan tapak.
“Tindakan tegas juga akan diambil ke atas individu yang didapati cuai ketika pelaksanaan pembinaan,” katanya. – Malaysiapost

