Nurul Huda Abhar
PELAKON, Diana Rafar, 38, selamat melahirkan anak ketiga iaitu bayi lelaki seberat 3.57kg di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Jumaat lalu.
Suaminya yang juga seorang pelakon Zamarul Hisham, 49, menzahirkan perasaan gembira dan berkongsi gambar bersama bayi ketiganya yang lahir jam 11.33 malam.

“Syukur Alhamdulillah atas kelahiran anak ketiga ini. Kelahiran yang bakal menceriakan lagi keluarga kami.
“Terima kasih Allah atas rezeki yang diberikan. Terima kasih wahai anak ku kerana kelahiran mu membuatkan papa terasa semakin muda,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram, hari ini.
Menurut Zamarul, isterinya bersalin lewat dua hari dari tarikh jangkaan doktor iaitu 16 September.
“Terima kepada kepada peminat yang sentiasa mendoakan Diana. Ingatkan ‘baby’ nak keluar 16 hari bulan, rupa-rupanya dia nak hari Jumaat juga. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan,” katanya.
Sementara itu, Diana turut mengucapkan rasa syukur dengan kelahiran bayi mereka dan berterima kasih kepada peminat yang mengutuskan doa kepadanya.
“Terima kasih Allah. Terima kasih semua yang mendokan kami. Syukur Alhamdullilah atas segala nikmat dan kurnia Allah.
“Semoga Allah balas jasa baik semua yang tak putus mendoakan kami. Sayang anda semua,” katanya.
Pasangan ini berkahwin pada 16 Mei 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Kashfi Haiqal, 10, dan Kayla Reysha, dua tahun. -Malaysiapost

