Hina negara selepas cinta ditolak jejaka Malaysia

0
2

Foto Kredit: IndoZone

[Dunia] GARA-gara cinta ditolak jejaka Malaysia, seorang wanita ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas menunjukkan protes dengan membakar serta menghina bendera dan Presiden Indonesia.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Rohmeini Purba, 27, memuat naik video di akaun media sosialnya yang menunjukkan dia melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Dia dikatakan menghina atau merendahkan kehormatan lambang negara berkenaan sebagaimana termaktub dalam undang-undang Indonesia.

Ketua Unit Jenayah Siber, Polis Sumatra Utara, Bambang Rubiyanto, berkata wanita berkenaan dipercayai membakar, memasak dan menggunakan bendera Indonesia sebagai kain lap tingkap.

“Dia memuat naik aksinya melakukan perbuatan melampau itu di akaun Instagram @maya.maya639 dan mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengikutnya.

“Dia juga memuat naik video memaparkannya menghina Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Naib Presiden, Ma’ruf Amin dengan menconteng serta menaburkan cili dan potongan sayuran ke atas gambar kedua-dua pemimpin itu,” katanya memetik laporan Jakarta Post.

Menurut Bambang, wanita berasal dari Kelurahan Petapahan, Kecamatan Lubuk Pakam, Deli Serdang itu dipercayai sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian dunia.

“Dia mengaku menjalin hubungan dengan lelaki warga Malaysia namun cintanya tidak berbalas dan ditentang keluarga serta semua rakannya,” katanya. -Malaysiapost