Muhammad Mustakim Ramli
KEKALKAN keunikan Kampung Selayang Lama dengan mewartakannya sebagai Kampung Warisan dalam Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (PPKL) 2040.
Itu harapan penduduk kampung tradisional berusia lebih 150 tahun itu supaya statusnya terus kekal dan terpelihara, di sebalik pembangunan pesat di Kuala Lumpur.
Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Selayang Lama, Mohammad Rahmat Mohd Shariff, 41, berkata kampung itu boleh dijadikan sebagai ikon tradisi bagi menarik minat pengunjung luar ke Kuala Lumpur.
Ini kerana, katanya, di pinggir kepesatan dan pembangunan moden bandar raya Kuala Lumpur, terdapat perkampungan Melayu, di mana sebahagian besar kediaman masih mengekalkan ciri-ciri tradisional.
“Kita boleh menjadikan Kampung Morten di Melaka sebagai contoh. Begitu juga, Kampung Selayang Lama boleh menjadi ikon warisan yang tak lapuk dikenang zaman,” katanya kepada Malaysiapost.

Mohammad Rahmat berkata, kampung itu adalah antara penempatan awal orang Melayu di Kuala Lumpur dan bukti usianya lebih 150 tahun masih ada, antaranya Tanah Perkuburan Islam Kampung Selayang Lama.
Ia diakui Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Selayang Lama, Mohammed Shariff Abdul Rahman, 67, yang mamaklumkan moyangnya dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.
“Arwah Seri Maharaja meninggal dunia pada usia 70 tahun pada 1950, diikuti isterinya, Nilam pada tahun 1951.
“Jika kedua-duanya masih hidup, usia mereka kini 140 tahun. Yang meninggal dunia sebelum itu, kubur dan batu nisan mereka pun masih ada.
“Selain itu, peninggalan lama seperti Masjid Jamek yang kini dikenali Masjid Anas Bin Malik yang seni binanya lebih ratusan tahun dan kekal sehingga kini.
“Masjid ini dirasmikan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman (Putra al-Haj) pada 1961 dan plak perasmiannya masih ada,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha keras memastikan Kampung Selayang Lama dijadikan Kampung Warisan agar statusnya dipelihara sebagai khazanah negara, khususnya di Kuala Lumpur.
“Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) serta Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) memberi maklum balas positif mengenai perkara ini.
“Kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kampung Selayang Lama yang berada di Mukim Batu, berkeluasan 10 hektar dan mempunyai 668 penduduk tempatan, terdiri dari masyarakat Minang dan Mandaling.
Dalam laporan Siri 1 semalam, Malaysiapost yang membuat tinjauan pada penempatan di utara Kuala Lumpur ini, percaya kampung berkenaan mungkin ‘hilang’ jika diabai pihak bertanggungjawab.
Berdasarkan pemerhatian, kampung itu dilihat terancam dengan kehadiran warga asing yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur, serta memonopoli kawasan berkenaan.
Penempatan yang mempunyai 274 rumah itu pada awalnya 100 peratus dihuni penduduk asal, namun saban tahun jumlah mereka kian berkurangan, sebahagian besar berpindah keluar antaranya berikutan jumlah warga asing yang semakin ramai. – Malaysiapost

