Mencaci bentuk tubuh individu kesalahan jenayah – KPN

0
2

PERBUATAN mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ia termaktub dalam undang-undang yang terpakai di Malaysia untuk menangani pelakuan jenayah berkenaan.

Beliau berkata, pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Manakala kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun,.

“Sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula, seseorang yang didakwa boleh didenda tidak melebihi RM100,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya akan membantu siasatan polis dari segi teknikal berhubung sebarang laporan yang diterima.

“Individu yang menjadi mangsa jenayah body shaming di media sosial perlu membuat laporan polis sebelum merujuk kepada SKMM,” katanya. -Malaysiapost