IMAM Masjid Al Irfan, Derga, Abdul Hadi Awang meminta orang ramai berhenti menyebarkan kisah kubur berdarah yang berlaku di kawasan kariahnya.
Beliau juga berharap orang ramai menghentikan komen mengenai perkara itu yang belum pasti kesahihannya.
“Kami harap siapa yang menular berkaitan kisah kubur berdarah atau menyebarkan berita tidak sahih itu supaya memadam atau menghentikan komen perkara belum tentu kesahihannya.
“Kami sudah membuat laporan polis malam tadi dan biarlah polis siasat semuanya, ” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Katanya, beliau dan jemaah masjid itu terkilan dengan penyebaran berita berkaitan ‘kubur berdarah’ itu disebar di Facebook (FB) yang boleh mengundang pelbagai andaian dan mengaibkan jenazah.
“Arwah ni orang yang baik-baik dan baru dikebumikan kira-kira tiga minggu lalu dan meninggal dunia ketika berusia 70-an akibat sakit tua.
“Sepanjang hayatnya, arwah banyak melakukan amal jariah dan kebajikan di masjid ini tapi apabila berita yang ditular tidak tepat, saya sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, semalam ada satu kematian di kawasan perkuburan itu dan ketika itu jemaah masjid menyedari kubur itu mempunyai cecair merah pada jam 11 pagi.
Namun katanya, dia hanya menyedari kejadian itu ditularkan di laman sosial pada jam 5 petang selepas dimaklumkan jemaah masjid yang menerima video dari kiriman WhatsApp yang disebar di FB.
“Saya minta cukuplah, berhenti tular cerita ini. Cuba bayangkan yang meninggal itu bapa atau abang kita, mungkin kita pun sedih.
“Sekarang musim hujan, mungkin ada orang siram minyak bagi rumput mati kita tak tau, biarlah polis siasat, kami jemaah masjid serah pada polis,” katanya. -Malaysiapost

