Muhammad Mustakim Ramli
LEBIH separuh kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam membabitkan aktiviti kelab malam atau pub iaitu seramai 363 individu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 522 individu yang ditahan, dengan 342 daripadanya dikompaun, manakala 180 lagi direman.
“Kesalahan lain termasuklah tidak mematuhi penjarakan fizikal iaitu 81 orang, tidak memakai pelitup muka (36) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) (17).
“Selain itu ada juga yang ditahan kerana gagal menyediakan peralatan dan rekod butiran diri (12), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh (satu), premis beroperasi tanpa kebenaran (lima), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (tujuh),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, operasi semalam turut membabitkan pemantauan di 3,475 pasar raya, 4,210 restoran serta 1,189 penjaja, 1,204 kilang, 3,210 bank dan 680 pejabat kerajaan.
“Turut dipantau 1,021 terminal pengangkutan darat, 195 terminal pengangkutan air serta 281 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Ismail Sabri berkata, mengenai Operasi Benteng yang dijalankan semalam, pihak berkuasa menahan 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus.
Katanya, selain PATI, pihak berkuasa juga berjaya menahan lima penyeludup dan seorang tekong bersama lima kenderaan darat yang digunakan. -Malaysiapost

