Rakyat Sabah perlu pilih Warisan Plus – PKR

0
1

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggariskan tiga sebab utama Warisan Plus harus menjadi pilihan rakyat Sabah.

Menerusi kenyataan bersama tujuh calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mereka berkata, Warisan Plus menawarkan pilihan terbaik untuk rakyat negeri ini.

Menurut mereka, sebab pertama adalah kerana kesepakatan Warisan Plus memilih Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon tunggal ketua menteri, sedangkan Gagasan Rakyat Sabah masih bercelaru dengan calon ketua menteri antara Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Warisan Plus juga menghormati autonomi kuasa rakyat Sabah kerana pemilihan Mohd Shafie dibuat oleh rakyat dan pemimpin Sabah, manakala pengumuman Hajiji sebagai calon ketua menteri dipilih oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Adakah rakyat Sabah dirunding sebelum pengumuman dibuat? Siapakah yang menentukan calon Ketua Menteri PN-BN-PBS, Putrajaya atau rakyat Sabah?” menurut kenyataan mereka di Kota Kinabalu hari ini.

Ia adalah kenyataan bersama calon DUN Api-Api, Datuk Christina Liew Chin Jin; calon Tempasuk, Mustapha Sakmud; calon Inanam, Peto Galim; calon Klias, Abdul Rahman Yakub; calon Sook, Raymond Ahuar; calon Tamparuli, Alijus Sipil dan calon Matunggong, Sazalye Donol Abdullah.

Menurut mereka lagi, Warisan Plus sudah menunjukkan perpaduan yang kukuh dengan bertanding di semua 73 kerusi tanpa pertembungan sesama sendiri. 

Kata mereka, sebaliknya kecelaruan Gagasan Rakyat Sabah terbukti dengan pertembungan sekutu di 17 kerusi. 

“Rakyat Sabah mengharapkan kestabilan politik dan kerajaan yang kukuh supaya kerajaan negeri boleh menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan pekerjaan, memerangi Covid-19 dan memajukan sektor pelancongan, pertanian dan ekonomi luar bandar.

“Ini akan memastikan Sabah berada di landasan yang betul dan memacu semula pembangunan negeri.

“Kesepakatan politik ditunjukkan Warisan Plus memudahkan rakyat membuat pilihan pada PRN ini,” menurut kenyataan itu. -Malaysiapost