PRN Sabah: Iklan berbaur perkauman kerana takut kalah – Ming Fung

0
1
Calon DAP, Datuk Frankie Poon Ming Fung (kiri) dalam sidang media di Sandakan.

CALON Warisan Plus menyifatkan tindakan pihak lawan mendirikan iklan berbaur perkauman kerana bimbang mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ia susulan sebuah papan iklan dengan tulisan cina yang didirikan di Bandar Kim Fung berbunyi ‘satu undi untuk kapal layar = pelarian haram akan jadi orang Sabah’.

Iklan dipercayai didirikan pihak lawan di bandar Kim Fung di Sandakan yang berbaur perkauman.

Calon DAP di kerusi DUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata iklan itu sudah diturunkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas aduan dibuat pihaknya semalam.

Frankie berkata, wakil mereka terserempak dengan dua pekerja yang mendirikan papan iklan itu dan ketika ditegur, kedua-duanya melarikan diri serta meninggalkan tangga mereka di tepi jalan.

“Kami amat berasa kesal dengan tindakan ini yang melontarkan tuduhan tidak berasa dan papan iklan juga tidak mengikut syarat diwajibkan SPR seperti maklumat penerbit dan pencetak.

“Mereka terus memanipulasi isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyerang keturunan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mereka bimbang akan kalah,” katanya dalam sidang media di Sandakan hari ini.

Ming Fung berkata, isu yang ditayangkan dalam papan iklan itu juga hanya membuktikan pihak lawan ketandusan isu.

Katanya, Mohd Shafie sudah berkali-kali menjelaskan bahawa beliau lahir dan membesar di Semporna, malah nenek moyangnya dikebumikan di daerah itu.

“Oleh itu, kami berharap rakyat Sabah tetap tegas menolak politik perkauman kerana kita tidak perlu sehaluan dengan pihak yang berbaur perkauman,” katanya. -Malaysiapost