Foto Kredit: The Straits Times
TIGA daerah di Sabah iaitu Tongod, Pitas dan Kota Marudu, dikenal pasti sebagai daerah paling miskin di seluruh negara.
Ia berdasarkan hasil kajian kemiskinan pada tahun lalu yang mendapati ketiga-tiga daerah itu mencatat kadar kemiskinan tertinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata walaupun ada kelompok orang asli di Semenanjung turut mencatat kadar kemiskinan yang tinggi dengan purata 40 peratus, namun tidak setinggi di tiga daerah itu.
“Kadar kemiskinan di Tongod, Pitas dan Kota Marudu ialah kira-kira 50 peratus. Di Semenanjung, kelompok orang asli mencatat kira-kira 40 peratus, jadi kadar kemiskinan di tiga daerah di Sabah itu adalah yang paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.
Selepas Sabah, katanya negeri kedua tertinggi kadar kemiskinan ialah Kelantan dan diikuti Sarawak.
“Kadar itu akan digunakan bermula tahun depan sebagai panduan dalam melaksanakan program pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.
Secara teperinci, Tongod mencatat 56.6 peratus kemiskinan, diikuti Pitas (53.6) dan Kota Marudu (46.2) .
Selain tiga daerah itu, dua lagi iaitu Beluran dan Telupid turut mencatat kadar kemiskinan yang tinggi masing-masing dengan 45 peratus dan 40.7 peratus.
Ia menjadikan lima daerah itu sebagai daerah mempunyai penduduk miskin paling ramai di Sabah.
Peratusan itu turut menunjukkan lebih separuh penduduk di Tongod dan Pitas terdiri daripada golongan miskin. – Malaysiapost

