Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membahayakan kepentingan dan keselamatan awam untuk memenuhi kepentingan politik dengan menjanjikan Pilihan Raya Umum (PRU) segera.
Beliau mendakwa, Muhyiddin begitu terdesak bagi pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) dan menggunakan PRU sebagai umpan untuk mendorong Umno berusaha lebih keras menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tiada keperluan membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya segera ketika blok pembangkang yang terdiri daripada 109 Ahli Parlimen tidak mahu membahayakan kesihatan dan keselamatan awam kerana peningkatan jumlah kes Covid-19 kebelakangan ini.
“Banyak negara di dunia, termasuklah yang terbaru adalah Britain, menghadapi gelombang kedua jangkitan Covid-19 dan Malaysia juga mungkin akan terjejas sama,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PRN Sabah terpaksa berlaku berikutan percubaan khianat oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan disokong oleh Muhyiddin untuk membentuk kerajaan negeri pintu belakang melalui ‘katak-katak politik’ kerana kepentingan peribadi.
Katanya, untuk melindungi mandat rakyat dan hak mereka untuk memilih siapa yang akan membentuk kerajaan negeri Sabah dan bukannya katak politik, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiada pilihan selain membubarkan Dewan Undangan Negeri.
“Satu-satunya parti politik yang mahukan pilihan raya umum awal di Malaysia, adalah Muafakat Nasional (PAS dan Umno) yang juga sebahagian daripada blok 113 Ahli Parlimen kerajaan.
“Namun, perkara ini sebelumnya ditolak oleh Muhyiddin kerana curiga Umno akan terus menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri.
“Kelemahan politik Muhyiddin terbukti dengan kemampuannya mendapatkan sokongan hanya 111 Ahli Parlimen berbanding 109 di blok pembangkang,” katanya. -Malaysiapost

