PRN Sabah: Azree disenangi orang Bongawan

0
2

CALON Parti Liberal Demokratik (LDP), Mohd Azree Abd Ghani sangat disenangi dalam kalangan pengundi DUN Bongawan yang mengenali beliau sebagai anak jati kawasan itu.

Tidak hairanlah kehadirannya bersama jentera parti di Tamu Pekan Bongawan hari ini, menarik perhatian orang ramai yang hadir termasuk dalam kalangan parti lawan.

Ramai yang tidak melepaskan peluang menemuinya selepas mengetahui beliau bertanding di kerusi berkenaan.

Bagi Mohd Azree, peluang menemui peniaga dan pengunjung di Tamu bukan saja untuk berkempen, malah dapat menemui saudara dan rakan.

“Ramai yang saya kenal, saudara, sepupu, mereka semua menyatakan sokongan kepada saya sebagai calon LDP di kerusi DUN Bongawan.

“Saya cukup terharu menerima sambutan yang sangat baik ini dan saya berharap keadaan ini berterusan dan meningkat lagi menjelang hari mengundi yang berbaki kira-kira seminggu lagi,” katanya.

Mohd Azree berdepan persaingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Ag Syairin Ag Bakar; Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman dan calon Warisan, Dr Daud Yusof.

Tamu Mingguan Pekan Bongawan yang diadakan setiap Sabtu menjadi tumpuan penduduk Bongawan untuk memasarkan pelbagai hasil pertanian dan perikanan, selain sebagai tempat membeli barangan keperluan.

Mohd Azree mengambil peluang itu untuk menemui seramai mungkin pengundi dari sekitar Bongawan untuk menarik sokongan mereka terhadap perjuangan LDP dalam melaksanakan perubahan menyeluruh di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. – Malaysiapost

Calon LDP Bongawan menemui pengundi di tamu pekan Bongawan