Agro Bazaar Check Point Batu 32 yang terletak berhampiran persimpangan jalan ke Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu turut menerima tempias Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sejak kempen bermula 12 September lalu, jumlah pengunjung ke pasar itu untuk membeli pelbagai jenis makanan terutama buah salak, bertambah berbanding selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengusaha gerai, Minarni Bachok, 49, berkata peniaga di bazaar itu kini dapat menarik nafas lega selepas kehilangan punca pendapatan selama dua bulan sejak PKP dikuatkuasakan.
Beliau yang juga timbalan pengerusi agro bazaar itu berkata, jika ramai pengunjung dan musim cuti sekolah mereka boleh meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM100 sehari.
“Sekarang musim hujung minggu dan kempen, ramai juga singgah tapi jumlahnya tidaklah seramai seperti sebelum Covid-19, mungkin kerana orang masih takut untuk singgah.
“Kami berharap beberapa kemudahan di sini diperbaiki bukan untuk keselesaan peniaga semata-mata, malah memudahkan pengunjung singgah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kira-kira 30 peniaga berniaga di agro bazaar itu dengan produk utama mereka adalah buah salak yang diusahakan penduduk di Kampung Pertanian Garinono, Batu 25, Sandakan.
Dua jenis buah salak yang dijual adalah salak madu dan salak gula dengan harga antara RM5 hingga RM10 sekilogram.
Agro Bazaar itu terletak dalam kawasan DUN Gum-Gum.
DUN Gum-Gum menyaksikan penyandang kerusi daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Arunarnsin Taib dicabar calon daripada Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Bebas.
Minarni berkata, selain mahu kemudahan seperti meja dan dinding pasar diperbaiki, mereka juga berharap agar sewa pasar yang dikenakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diturunkan.
Katanya, pada masa kini mereka membayar sewa RM60 sebulan dan perlu membayar sendiri bil elektrik.
“Kami harap semua ini diambil kira memandangkan perniagaan kami terjejas sejak PKP.

“Kami juga berharap beberapa isu di sini seperti laluan masuk ke bazaar yang tak berapa elok dapat diselesaikan wakil rakyat yang bakal dipilih,” katanya. – Malaysiapost


