PELAKON Raja Afiq dan pilihan hatinya, Soffwany Yusoff, sah bergelar pasangan suami isteri di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, hari ini.
Dengan sekali lafaz, pasangan ini selamat dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai Hamzah, pada jam 9 pagi disaksikan 18 tetamu.
Pelakon drama bersiri, Sayangku Kapten Mukhriz itu menyerahkan wang hantaran RM15,000, mas kahwin RM1,101 serta lima dulang yang dibalas tujuh dulang pengantin perempuan.
“Alhamdulillah, biarpun perkenalan kami singkat, jodoh kuat mendekati kami. Kami berkenalan sejak akhir tahun lalu dan mula rapat, awal tahun ini. Selepas mengikat pertunangan pada awal Mac lalu, kami merancang majlis pernikahan, Ogos lalu.
“Namun, banyak perkara tergendala selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akhirnya, majlis dianjak bulan ini.
“Semoga fasa baru hidup kami ini akan terus membahagiakan. Insya-Allah,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Raja Afiq atau nama penuh, Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 26, berkenalan dengan Soffwany, 31, yang juga anggota Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman sosial Instagram.

“Dia wanita yang sangat memahami, lemah-lembut dan baik… Saya cukup senang dengannya,” katanya.
Sementara itu, Soffwany juga bekas peserta program Suara Viral berkata, Afiq memahami jadual kerjanya yang padat lantas membuatkan dirinya selesa dan jatuh hati.
“Afiq ‘sweet’ dan selalu mengambil berat dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan,” katanya.
Pasangan pengantin baharu ini memilih Langkawi sebagai destinasi bulan madu dan buat masa kini tidak merancang apa-apa mengenai zuriat.
Pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding Januari depan, sama ada di Shah Alam atau Ipoh, Perak.
-Malaysiapost


