AKUR dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, anggota misi pengaman di Lubnan terpaksa menghadiri pengebumian isterinya dengan berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Beliau juga tidak sempat bertemu dan memeluk jenazah isterinya walaupun tiba beberapa jam sebelum arwah meninggal dunia.
Lans Koperal Mohd Noh Samsudin, 25, yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) itu, diberikan kebenaran khas pulang awal selepas isterinya tenat seminggu lalu.
Bagaimanapun, anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) itu terpaksa mematuhi SOP dengan menjalani kuarantin hingga tidak dapat menatap wajah isterinya sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
Ibu mentua Mohd Noh, Norzita Lemchek, 49, berkata Allahyarham Norhidayah Amishammudin, 25, meninggal dunia kira-kira jam 7 malam kelmarin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah (HTAN) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Norzita berkata, Mohd Noh sepatutnya menamatkan misi awal bulan hadapan namun terpaksa pulang awal susulan keadaan arwah isterinya.
“Walaupun dia mendarat awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 3 petang kelmarin, dia terpaksa mengikuti SOP dan tidak sempat menatap wajah isterinya buat kali terakhir.
“Saya dan seluruh ahli keluarga sayu melihat dia terpaksa berpakaian PPE ketika hadir dan perlu pulang semula ke pusat kuarantin,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Menurut Norzita, Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu tetapi seminggu lalu, doktor mengesahkan arwah menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.
“Sejak akhir-akhir ini, arwah sering memberitahu rindukan suaminya namun saya tidak sangka arwah pergi terlebih dahulu tanpa menatap wajah suami,” katanya.
Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Makam Tok Gobah, Air Mawang sebelum solat Jumaat semalam.
Pasangan ini telah berkahwin tiga tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.
Terdahulu, laman Facebook MALBATT 850-7 memberitahu seorang anggota PBB UNIFIL, MALBATT 850-7 kehilangan isteri yang menghembuskan nafas terakhir. -Malaysiapost

